comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Subsidi diesel kekal, `fleet card’ diperluas

 

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan menambah baik sistem subsidi diesel dengan memperluas pemberiannya kepada sektor pengangkutan darat (barangan) melalui mekanisme ‘fleet card’ Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan hanya penerima yang layak menikmati subsidi berkenaan.

“Dengan cara ini kita dapat mengesan siapa yang perlu, boleh pakai (menerima subsidi). Jangan dia ambil diesel dan jual kepada kilang-kilang seperti mana berlaku sekarang.

“Kedua, kita sedang perinci kenderaan mana yang diperlukan (layak menerima subsidi) dan sebagainya tetapi yang jelas ialah subsidi diesel tidak dinaikkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil 1/2023 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Anwar berkata, tanggungan subsidi diesel negara melonjak  kepada RM13 bilion tahun lalu .

“Semakan menunjukkan penggunaan diesel melonjak 37.7 peratus iaitu 6.1 bilion liter dalam tahun 2019 (pra-COVID) kepada 8.4 bilion liter dalam tahun 2022 (pasca-COVID)”, katanya.

Sedangkan beliau berkata, jumlah kenderaan berdaftar yang menggunakan bahan api itu cuma meningkat 2.4 peratus dari 2.08 juta kenderaan pada 2019 kepada 2.13 juta kenderaan pada 2022.

“Peningkatan kenderaan menggunakan diesel hanya 2.4 peratus tetapi penggunaan diesel melonjak 37.7 peratus. Jadi adalah masalah tentang salah guna, penyeludupan dan ketirisan.

“Ini yang disebut (sebelum ini mengenai) ketirisan RM10 bilion yang kemudian dicabar oleh sesetengah Ahli Parlimen dan pembangkang yang tidak baca nota dan angka disediakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat turut membangkitkan isu nelayan yang menjual diesel kepada kapal asing di tengah laut dan sempadan.

“Ini (subsidi) dari kerajaan atau wang cukai yang dibayar untuk bantu rakyat tetapi digunakan oleh kartel yang menguntungkan segelintir kecil termasuk melalui penjualan kepada kilang-kilang besar dan penyeludupan,” katanya.

 

 

 

 

Loading...
Terkini