comscore
Tumpuan :
Jenayah

TDM tahan dua lelaki disyaki seludup anak pokok dari Thailand

Foto hiasan

TANAH MERAH: Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan dua lelaki dan merampas 2,074 pelbagai anak pokok dipercayai diseludup dari Thailand berhampiran tebing Sungai Golok di sini awal pagi tadi.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan rampasan itu membabitkan 1,000 pokok buluh manis, 200 bidara, 150 orkid tanah, masing-masing 100 sayak naga serta mutiara andaman, manakala masing-masing 50 keladi, bayan king, siam mon, rumput mas dan botani.

Turut dirampas ialah 70 pokok kancana, pilo hijau (60), mutiara mas (31), urai mas (30), zamrud (36), janggut naga (47) serta sebuah lori tujuh tan, kesemuanya dianggar bernilai RM214,490.

“Pada 3 pagi, pasukan operasi yang menjalankan rondaan telah mengesan aktiviti mencurigakan berhampiran tebing Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand dengan didapati dua lelaki sedang memasukkan sejumlah anak pokok ke dalam sebuah lori dipercayai untuk diseludup ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun itu berserta barangan rampasan diserahkan kepada Balai Polis Lalang Pepuyu, di sini untuk tindakan lanjut.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini