comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Tembakan di KLIA: Tindakan selamatkan nyawa orang awam kaedah terbaik daripada menahan suspek – Polis


SEPANG: Tindakan menyelamatkan orang awam terlebih dahulu adalah kaedah terbaik berbanding bertindak menahan suspek kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata ini kerana kejadian itu berlaku di kawasan orang awam dan terdapat kanak-kanak di lokasi kejadian.

Menurutnya, dalam konteks itu keutamaan pihak berkuasa adalah lebih kepada menyelamatkan orang awam.

“Sekiranya polis libatkan suspek dalam kejadian itu berkemungkinan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di sini hari ini.

Pada majlis itu, Asisten Komisioner Azman Shari’at dilantik sebagai Ketua Polis IPD KLIA baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Imran Abd Rahman yang bertukar ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Kenyataan Hussein itu merujuk kepada pertanyaan pemberita bagi mengulas dakwaan kenapa pihak polis tidak menangkap suspek pada hari kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi semalam, suspek berjaya melarikan diri selepas melepaskan dua das tembakan dan menyalakan mercun.

Tembakan dipercayai disasarkan kepada isterinya yang sedang menunggu ketibaan balik jemaah umrah dan telah terkena pengawal peribadi wanita berkenaan.

Mengulas mengenai kes ugutan jenayah terhadap wanita berkenaan sebelum ini, Hussein berkata pada awal tahun lalu suspek telah ditangkap di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan direman selama tiga hari untuk siasatan.

Menurutnya, siasatan masih berjalan untuk dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

Sehingga kini, usaha menjejaki suspek masih diteruskan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini