comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes tembak di KLIA: Suspek disyaki guna pistol 9mm, dari negara jiran – KPN

Anggota Polis meningkatkan pemantauan keselamatan di sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa 1 (KLIA1) susulan kejadian tembakan di bangunan itu awal pagi tadi. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pistol digunakan suspek yang cuba menembak isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang dekat sini awal hari ini, disyaki jenis semi automatik kaliber 9 milimitet (mm) dan diperoleh dari negara jiran.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan tiga kelongsong peluru dengan satu daripadanya tidak meletup.

“Satu daripadanya belum meletup. Suspek memiliki senjata itu secara haram dan dipercayai diperoleh dari negara jiran.”

“Suspek disyaki menggunakan pistol jenis 9mm. Bagaimanapun, siasatan masih dilakukan pihak kita (polis),” katanya.

Beliau memaklumkan peluru yang ditemui di tempat kejadian dikenal pasti daripada jenis 380 automatic.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi tadi itu, beberapa das tembakan dilepaskan suspek menggemparkan orang ramai yang berada di Balai Ketibaan yang terletak di aras 3 KLIA Terminal 1.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata seorang pengawal peribadi cedera selepas terkena satu daripada dua das tembakan yang ditujukan kepada isteri suspek.

Difahamkan ketika kejadian, isteri suspek sedang menunggu jemaah umrah yang baharu mendarat sambil ditemani dua pengawal peribadinya.

Isteri suspek dikatakan mengendalikan satu agensi pengurusan umrah.

Mohd Shuhaily berkata suspek pada mulanya melempar mercun hingga mencederakan dua orang awam, sebelum bertindak menghampiri isterinya dan melepaskan dua das tembakan pada jarak antara 3 hingga 4 meter.

Tembakan itu bagaimanapun terkena bahagian perut salah seorang pengawal peribadi terbabit usia 38 tahun ketika dia berusaha menghalangnya daripada terkena sasaran utama suspek.

Dia yang masih dalam keadaan kritikal, masih dirawat di Hospital Cyberjaya.

Pada masa sama, polis kini sedang berusaha mengesan suspek dikenali sebagai Hafizul Harawi, 38, yang melarikan diri sejurus kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini