comscore
Tumpuan :
Jenayah

Terpedaya ‘parcel scam’, pesara rugi RM89,300

Foto hiasan

MUAR: Terpedaya dengan penipuan kiriman bungkusan tidak wujud atau ‘parcel scam’ selepas ditunjukkan surat notis kehadiran ditandatangani individu menyamar polis, seorang pesara wanita kerugian RM89,300.

Mangsa berusia 68 tahun sebelum itu menerima panggilan daripada seseorang memaklumkan terdapat bungkusan atas nama wanita itu yang mengandungi kad pengenalan dan kad kredit daripada pos laju.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata panggilan itu kemudiannya disambung kepada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai polis.

Katanya lagi, ‘polis’ terbabit menjelaskan mangsa didakwa terbabit dalam kes penyeludupan dadah dan menggelapkan wang.

“Tanpa membuat usul periksa, mangsa terus mempercayainya ditambah pula dengan taktik suspek menunjukkan notis terbabit.

“Berikutan itu, mangsa segera melakukan empat transaksi memindahkan wang secara berperingkat.

“Mangsa menyedari ditipu lalu membuat laporan polis semalam. Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Raiz Mukhliz berkata, ini adalah kes ketiga dalam tempoh kurang sebulan termasuk dua kes membabitkan seorang lelaki yang kerugian RM7,500 selepas berkongsi nombor pas pengesahan transaksi (OTP) dengan individu tidak dikenali.

“Sebelum itu, terdapat juga kes membabitkan seorang jururawat yang menanggung kerugian RM8,820 kerana terpedaya dengan ‘Love Scam’.

“Justeru, polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tindakan licik sindiket seperti kes ini dan jangan terlalu mudah mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak tidak dikenali,” katanya.

Loading...
Terkini