comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita rugi lebih RM45,000 diperdaya tawaran kerja dalam talian

Foto Hiasan

SIBU: Seorang wanita pekerja syarikat swasta mendakwa kerugian RM45,049 apabila menjadi mangsa penipuan dalam talian yang menawarkan pekerjaan sebagai ‘pembantu dalam talian sambilan’ menerusi media sosial.

Mangsa berusia 34 tahun yang bekerja di bahagian operasi sebuah syarikat di sini pada mulanya telah melihat iklan jawatan tersebut dalam media sosial Facebook dan Instagram sebelum menghubungi nombor telefon yang disertakan dalam iklan itu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan berkata wanita itu kemudiannya diminta untuk mendaftarkan maklumat peribadi dan perbankannya di sebuah laman sesawang bagi membolehkannya mendapat pekerjaan itu.

“Mangsa kemudian diminta untuk membuat beberapa pembayaran ke lima akaun bank berjumlah RM45,049 bagi mendapat komisen untuk barangan yang ditempah menggunakan namanya,” katanya dan menambah wanita itu membuat laporan polis pada Rabu lepas selepas menyedari ditipu.

Susulan kes itu, Zulkipli menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran di media sosial yang menawarkan pulangan yang lumayan.

Beliau berkata orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu syarikat atau agensi yang terbabit sebelum menerima apa-apa tawaran pekerjaan.

Katanya semakan boleh dibuat melalui balai polis yang berdekatan atau di laman sesawang http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di 013-2111222, CCID Response Centre di 03-26101559/03-26101599, https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – BERNAMA

Loading...
Terkini