comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga asing ditahan bersama 1kg syabu.

Gambar hiasan.

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki bersama syabu bernilai RM70,000 di kawasan lot kedai Jalan Bunga Tanjung, semalam.

Suspek warga asing berumur 27 tahun itu yang memandu kereta jenis Proton Saga, dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada jam 4.35 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika ditahan untuk pemeriksaan, suspek bertindak melarikan diri sebelum berjaya diberkas berhampiran sebuah premis makanan.

Menurutnya, pemeriksaan awal keatas kenderaan suspek menemukan satu beg plastik hijau tertera tulisan “Yushan High Mountain Tea” di bahagian belakang kerusi penumpang kenderaan terbabit.

“Hasil siasatan lanjut, bungkusan teh itu mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Syabu seberat 1020.02 gram.

“Kita percaya, dadah ini adalah untuk pasaran tempatan dan siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengenal pasti sumber dadah itu diperolehi serta rakan subahat suspek,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Jasmin berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Mebahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini