comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga Bangladesh dalang utama sindiket Program Rekalibrasi 2.0 ditahan

FOTO: JIM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki ‘dalang utama’ sindiket Program Rekalibrasi 2.0 ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) malam semalam (14 Februari).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi selama setahun di negara ini dan mengenakan bayaran sekitar RM7,000 bagi setiap pendatang asing tanpa izin (PATI).

Jelasnya, satu operasi khas melibatkan sepasukan pegawai serta anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dijalankan sekitar jam 10 malam semalam.

Pasukan operasi menyerbu sebuah premis di sekitar Petaling Jaya, Selangor.

FOTO: JIM

“Berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun yang disyaki sebagai ‘dalang utama’ sindiket berkenaan.

“Semasa ditahan suspek tidak mempunyai pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan operasi merampas wang tunai sebanyak RM2,000, 188 pasport Bangladesh, lima pasport Indonesia, masing-masing empat pasport India, Pakistan dan Nepal serta satu pasport Thailand.

Turut dirampas, pelbagai borang permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dan sebuah komputer riba.

Mengulas lanjut, menurut Datuk Ruslin, modus operandi sindiket adalah mensasarkan warganegara dari negara sumber seperti Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, Nepal dan Thailand yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri serta visa.

“Suspek akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah dan kemudian menawarkan perkhidmatan yang disediakan seperti urusan permohonan Program RTK 2.0 di pejabat Imigresen.

“Sindiket ini akan mendaftarkan syarikat bersama warga Malaysia bagi mengaut keuntungan dengan memanipulasi Progam RTK 2.0,” katanya.

Tambah beliau, warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Seorang wanita warga tempatan juga diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.

Ruslin berkata, JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta berkaitan serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini