comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Tukar Lorong, Warga Emas Maut Dirempuh Kereta

Foto hiasan

PORT DICKSON: Seorang warga emas yang menunggang motosikal maut dalam kemalangan ketika mengubah haluan perjalanan dari lorong kiri ke kanan jalan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan berlaku pada jam 4.15 petang tadi di Kilometer 8.1, Jalan Seremban, Port Dickson.

“Mangsa seorang warga emas wanita berusia 74 tahun yang tidak bekerja sedang menunggang motosikal jenis Honda Wave 100cc.

“Mangsa dipercayai mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan sebelum dirempuh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan motosikal itu.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak diatas jalan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu kereta jenis Proton Iswara yang terbabit kemalangan berusia 48 tahun sudah membuat laporan polis.

“Pemandu kereta itu sudah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Aidi Sham turut menasihatkan orang ramai terutamanya warga emas agar berhati-hati ketika sedang memandu ataupun menunggang motosikal bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Loading...
Terkini