comscore
Tumpuan :
Kes

10 suspek ditahan, kes rompakan bersenjata selesai

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Ahmad Sapri(kiri) bahan bukti kes rompakan di Miri hari ini. -Foto: NSTP

KUCHING: Polis menyelesaikan kes rompakan bersenjata di Miri dan Bekenu membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit dengan tangkapan 10 suspek, minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Ahmad Sapri berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima laporan rompakan bersenjata di Miri dan Bekenu pada 8 September dan 14 September lalu.

“Dalam kejadian rompakan bersenjata pada awal pagi itu, tangan mangsa diikat dengan tali oleh penjenayah yang bersenjatakan parang.

“Penjenayah terbabit berjaya melarikan sejumlah wang tunai beserta barang-barang berharga sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis Miri melancarkan operasi mengesan penjenayah terbabit sehinggalah mendapat maklumat daripada orang awam mengenai sekumpulan lelaki warga asing mencurigakan yang mendiami rumah di Miri.

“Berpandukan kepada maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri membuat intipan dan pemantauan ke atas rumah itu selama beberapa hari.

“Serbuan dilakukan 16 November lalu ke atas kediaman tersebut dan dua lelaki warga asing serta seorang lelaki warga tempatan ditahan pada 3 pagi.

“Lima individu yang turut menghuni rumah itu juga ditahan bagi membantu siasatan.

“Susulan daripada tangkapan dan pemeriksaan ke atas rumah itu, pihak polis menjumpai barang-barang berharga disyaki dilarikan suspek di dalam kejadian rompakan, selain kelengkapan pecah rumah dan senjata yang disyaki digunakan oleh suspek,” katanya.

Azman berkata, dua lagi suspek warga asing dipercayai melarikan diri ke daerah lain dengan menaiki bus pada malam 15 November.

Namun, kedua-dua suspek berjaya ditahan di stesen bas Serian, 16 November lalu.

“Semasa tangkapan dibuat pihak Polis turut menjumpai barangan rompakan yang dibawa bersama oleh suspek.

“Siasatan mendapati kesemua suspek merupakan penjenayah yang terlibat secara langsung dalam kejadian rompakan dan pecah rumah di sekitar daerah Miri,” katanya.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini