comscore
Tumpuan :
Kes

Mayat kru bot hanyut ditemukan di sangkar ikan Pulau Jerejak

GEORGE TOWN: Mayat seorang daripada dua kru bot yang dilapor hilang sejak semalam ditemukan berhampiran sangkar ikan di Pulau Jerejak di sini, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat V Muraley, 53, ditemukan terapung oleh komuniti nelayan sekitar jam 8.10 pagi.

Katanya, mangsa tinggal di Jalan Merak Jaya, Simpang Ampat di sini dan mayatnya turut disahkan oleh ahli keluarga yang berada di lokasi.

“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat.

“Kes juga diserah kepada pihak polis bagi siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, pencarian seorang lagi mangsa, M Gunalan, 46, masih diteruskan oleh agensi yang terbabit sejak jam 7.30 pagi tadi.

“Pencarian turut mendapat bantuan daripada beberapa bot komuniti nelayan setempat,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi APMM di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Terdahulu Harian Metro melaporkan mengenai penemuan bot hanyut tanpa pengemudi di perairan Batu Maung, Bayan Lepas, pada jam 8.20 pagi semalam.

Berdasarkan penemuan dokumen pengenalan diri di atas bot berkenaan didapati ia kepunyaan Gunalan dari Bukit Tambun.

Isteri Gunalan turut membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya yang dikatakan turun ke laut bersama Muraley dan tidak pulang ke rumah sejak jam 5 pagi semalam.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini