comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Blinken ulangi komitmen AS terhadap penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin

Foto: Reuters

BAITULMAQDIS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken yang melawat Israel pada Isnin mengulangi komitmen AS terhadap penyelesaian dua negara bagi menangani konflik Israel-Palestin selain menggesa rakyat Israel dan Palestin meredakan ketegangan.

Blinken yang sedang dalam rangka lawatan ke tiga egara di Timur Tengah, tiba di Israel selepas mengadakan kunjungan ke Mesir.

Ini adalah pertemuan pertama beliau dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sejak Netanyahu kembali memegang jawatan pada Disember 2022.

Sejurus tiba di lapangan terbang, Blinken mengutuk serangan maut baru-baru ini antara Israel dan Palestin, lapor Xinhua.

“Membunuh orang yang tidak bersalah merupakan jenayah kejam,” katanya.

Dalam kenyataan bersama dengan Netanyahu selepas pertemuan mereka, Blinken menggesa “semua pihak mengambil langkah segera untuk memulih dan meredakan ketegangan”.

“Saya berharap wujud persekitaran selamat untuk Israel dan Palestin,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai “pencerobohan” Iran dan hasratnya untuk mengembangkan apa yang dipanggil Perjanjian Abraham yang ditandatangani pada 2020 yang menyaksikan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Maghribi bersetuju untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

“Memperluas lingkaran keamanan dan berusaha untuk menutup isu konflik Arab-Israel, saya jangka akan membantu kami mencapai penyelesaian yang boleh dilaksanakan dengan jiran Palestin kami,” kata Netanyahu.

Blinken turut mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Eli Cohen dan Presiden Isaac Herzog.

Beliau dijadual bertemu Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa. – BERNAMA

Loading...
Terkini