comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Iran, Pakistan meterai pelan strategik 5 tahun untuk tingkat kerjasama perdagangan

TEHRAN: Iran dan Pakistan menandatangani pelan strategik lima tahun pada Khamis bagi meningkatkan kerjasama perdagangan dua hala, lapor Xinhua memetik kenyataan Kementerian Luar Iran.

Dokumen kerjasama itu ditandatangani oleh Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian dan rakan sejawatannya Bilawal Bhutto Zardari pada akhir mesyuarat mereka di Islamabad, ibu negara Pakistan, menurut kenyataan itu.

Bercakap pada mesyuarat itu, Amir-Abdollahian merujuk kepada perjanjian “baik” yang ditandatangani antara kedua-dua negara sebelum itu yang berjaya menjamin keselamatan berkekalan di sepanjang sempadan bersama dan menegaskan bahawa  perjanjian dan pelaksanaan itu dapat menyediakan konteks yang sesuai untuk memperluas kesemua hubungan dua hala.

Beliau berkata lawatan itu bertujuan membantu mempercepat pelaksanaan lebih 190 dokumen kerjasama yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara dan memulakan kerjasama dua hala yang “mampan dalam jangka panjang”.

Menteri Iran itu berkata sejak permulaan pentadbiran Presiden Iran Ebrahim Raisi pada Ogos 2021, jumlah perdagangan dua hala telah meningkat lebih daripada 50 peratus.

Sementara itu, Zardari menekankan mengenai pentingnya usaha untuk meningkatkan pertukaran perdagangan kedua-dua negara dan memperkukuh kerjasama ekonomi.

Menteri luar Pakistan itu menggesa pembentukan jawatankuasa strategik bersama untuk membuat susulan mengenai pelaksanaan perjanjian dua hala yang telah ditandatangani sebelum ini.

Bercakap pada sidang akhbar bersama selepas pertemuan itu, Amir-Abdollahian berkata kedua-dua negara berazam untuk meningkatkan tahap perdagangan dua hala, lapor agensi berita rasmi Iran IRNA.

Beliau berkata “rundingan membina” diadakan untuk menyelesaikan pembinaan saluran paip gas dari Iran ke Pakistan.

Bercakap pada akhbar yang sama, Zardari berkata kemajuan hubungan dua hala jelas menerusi pelancaran pasaran sempadan dan projek menyalurkan bekalan elektrik dari Iran ke Pakistan.

Amir-Abdollahian tiba di Pakistan pada malam Rabu untuk lawatan rasmi tiga hari. — BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini