comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Israel sambung semula bekalan air ke selatan Gaza

FOTO Reuters

BAITULMAQDIS: Israel menyambung semula bekalan air ke selatan Gaza ketika tentera rejim Zionis terus mengebom sasaran di kawasan Palestin yang sesak dengan penduduk.

Menteri Tenaga Israel Katz semalam berkata, keputusan menyambung semula bekalan itu diambil selepas perbincangan antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

“Ini akan mendorong penduduk awam ke selatan (sebahagian daripada) Semenanjung,” kata Katz dalam satu kenyataan, seminggu selepas Israel memutuskan bekalan air, makanan dan elektrik ke seluruh wilayah sebagai sebahagian daripada “pengepungan sepenuhnya” di kawasan Palestin.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan sebelum ini berkata Israel memaklumkan kepadanya mereka telah menyambung semula bekalan air di selatan Gaza.

“Saya telah berhubung dengan rakan sejawat Israel saya dalam masa sejam terakhir yang melaporkan kepada saya bahawa mereka sebenarnya telah menyambung semula air di selatan Gaza,” kata Sullivan kepada CNN.

Rakyat Palestin menadah air susulan krisis berterusan antara Palestin dan Israel di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. – FOTO Reuters

Perbandaran Beni Suheila di selatan Gaza mengesahkan bekalan air telah disambung semula ke kampung itu.

Bagaimanapun tindakan itu menurut penduduk hanya untuk publisiti Israel kerana kebanyakan saluran paip telah rosak akibat serangan bom.

Tambah penduduk lagi, pam air juga dianggap tidak berguna berikutan bekalan elektrik diputuskan Israel.

Israel memulakan kempen serangan udara terhadap Hamas di Gaza susulan serangan mengejut kumpulan pejuang itu ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Serangan udara itu membunuh ribuan penduduk di wilayah Palestin.

Dianggarkan satu juta orang kehilangan tempat tinggal dalam tujuh hari pertama konflik di Gaza, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyokong pelarian Palestin (UNRWA).

Beribu-ribu rakyat Palestin berkumpul di selatan Semenanjung Gaza dengan ada yang dilihat tidur bertilamkan tanah dan berbantalkan lengan selepas dipaksa meninggalkan utara wilayah itu oleh rejim Zionis. – AGENSI

Loading...
Terkini