comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Palestin alu-alukan resolusi PBB bagi membantah penempatan Israel di wilayah Palestin

Foto: AP

RAMALLAH: Palestin mengalu-alukan penerimaan empat resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memihak kepada Palestin, termasuk satu yang menganggap penempatan Israel di wilayah Palestin tidak sah.

Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki, berkata Palestin mengalu-alukan undian pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA), yang memihak kepada resolusi dan sokongan antarabangsa dalam hal ini.

Katanya, keputusan positif itu datang berikutan pencabulan sistematik Israel terhadap hak rakyat Palestin dengan terus menceroboh wilayah mereka dan ketiadaan komitmennya terhadap undang-undang antarabangsa.

“Keputusan ini mengesahkan hak sah rakyat Palestin dan paling utama adalah hak untuk menentukan nasib sendiri dan hak (pelarian) Palestin untuk kembali ke rumah mereka,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Keempat UNGA menerima pakai empat resolusi mengenai isu Israel-Palestin, dengan dua memihak kepada melanjutkan mandat Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan memberikan bantuan kepada pelarian Palestin.

Dua lagi resolusi memihak kepada harta dan hasil pelarian Palestin dan menentang penempatan serta amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Golan Syria yang diduduki.

Palestin mahu menubuhkan negara merdeka di wilayah yang diduduki oleh Israel pada 1967, termasuk Tebing Barat, Semenanjung Gaza, dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya. – AGENSI

Loading...
Terkini