comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Varian COVID mudah mutasi tinggi dikesan di 5 negara – WHO

Foto hiasan

LONDON: BA.2.86 varian COVID-19 yang didapati mudah bermutasi dikesan di beberapa negara antaranya Switzerland, Afrika Selatan, Denmark, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)memaklumkan, BA.2.86 yang merupakan cabang varian Omicron membawa lebih 35 mutasi dalam bahagian utama virus berbanding XBB.1.5 yang menjadi varian dominan sepanjang tahun ini.

Jumlah mutasi itu setanding dengan varian Omicron yang menyebabkan jangkitan rekod berbanding pendahulunya.

Ia dikesan buat kali pertama di Denmark pada 24 Julai lalu selepas pesakit berisiko yang dijangkiti virus mengalami sakit teruk.
Sejak itu, ia dikesan pada pesakit yang bergejala, hasil pemeriksaan rutin di lapangan terbang dan dalam sampel air kumbahan di beberapa negara.

“Bagaimanapun angka itu masih rendah,” kata Maria Van Kerkhove.

Berdasarkan beberapa kes yang diketahui namun tidak dikaitkan dengan virus berkenaan, ia menunjukkan virus itu sudah menyebar dengan lebih meluas berikutan penurunan pengawasan di seluruh dunia.

Saintis sedang menguji sejauh mana vaksin COVID-19 yang dikemas kini akan memberi kesan terhadap BA.2.86.

Kerkhove menyatakan vaksin adalah lebih baik untuk mencegah penyakit teruk dan kematian berbanding jangkitan semula.

Pakar virologi Belanda yang menjadi penasihat WHO, Marion Koopmans, berkata dunia berada dalam fasa yang sangat berbeza (wabak) berbanding jika ini muncul pada tahun pertama.

Timbalan Pengarah Utama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, Dr Nirav Shah, berkata agensi itu dan beberapa pihak yang lain menjumpai varian baharu itu minggu lalu.

Katanya, mereka kemudian mengadakan pertemuan dengan saintis sepanjang hujung minggu dan mengeluarkan penilaian risiko Rabu lalu.

Setakat Rabu lalu, terdapat sembilan kes dikesan dan varian itu juga ditemui dalam air sisa kumbahan di Switzerland.

Sementara itu, subvarian COVID yang digelar EG.5 memyebabkan beberapa orang di AS diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Rangkaian farmasi CVS, Walgreens dan Rite Aid memberitahu ujian molekul dan jualan kit ujian saringan di rumah meningkat dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini. – REUTERS

Loading...
Terkini