comscore
Tumpuan :
Mahkamah

12 saksi mungkin dipanggil kes PU Azman di Seremban

Foto: NSTP

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 24 Julai hingga 28 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan pendakwah selebriti, Azman Syah Alias, 42, bagi lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Dalam prosiding sebutan semula hari ini, Hakim Datin Surita Budin, berkata seramai 12 saksi pendakwaan mungkin dipanggil bagi memberi keterangan yang terdiri daripada doktor, ibu bapa, mangsa dan pegawai penyiasat.

Terdahulu, Peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili Azman Syah memberitahu mahkamah pihak pembelaan akan mengemukakan representasi selepas menerima dokumen kes di mahkamah lain membabitkan pengadu dan mangsa sama.

Tambahnya, ia bertujuan mengenal pasti sama ada kes di mahkamah berkenaan mempunyai perkaitan dengan kes di Mahkamah Seremban atau sebaliknya.

Surita kemudian menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh untuk keputusan representasi.

Sebelum itu, Azman Syah atau nama pentasnya PU Azman tiba di Kompleks Mahkamah Seremban jam 9 pagi.

Ditanya dirinya yang kini kelihatan aktif semula di Instagram, PU Azman atau lebih dikenali Cik Man memberitahu, ramai yang menghantar soalan peribadi dan agama kepadanya.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada masalah untuk menjawab soalan itu dan kadang-kadang ada yang tanya soalan berulang. Alhamdulillah saya juga sihat. Doakan,” katanya ringkas.

Pada 21 Disember lalu, Cik Man didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dengan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

Pada 7 Disember lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Klang atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama pada 12 Oktober.

PU Azman tidak mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

Loading...
Terkini