comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Simbah air panas kepada OKU, wanita dipenjara 10 tahun, denda RM6,000

BALIK PULAU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 terhadap seorang promoter selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimbah air panas ke atas pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down, Jumaat lalu.

Keputusan dibuat Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin selepas Oo Saw Kee, 39, mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah, pagi tadi.

Ketika prosiding, Ahzal Fariz berkata, setelah meneliti fakta kes, mahkamah mendapati tindakan tertuduh adalah satu perbuatan yang kejam dan tidak berperkemanusiaan.

“Mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat tambah-tambah lagi tiada provokasi langsung daripada mangsa. Mahkamah sudah tentu perlu mengambil kira kepentingan awam dan hukuman ini bertujuan memberi peringatan agar perbuatan ini tidak diulangi terutama kepada golongan istimewa.

“Masyarakat majmuk di Malaysia tidak membenarkan perbuatan seperti ini berlaku oleh itu mahkamah menjatuhankan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000, dan penjara 12 bulan jika denda tersebut tidak dibayar,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Saw Kee didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Solairaj Archudan, 33, menggunakan alat panas yang boleh menyebabkan kelecuran iaitu sebuah botol air yang mengandungi air panas.

Kesalahan itu dilakukan dalam lif nombor dua Pangsapuri I-Park, Jalan Rajawali, Bayan Lepas kira-kira jam 9.24 pagi, pada 19 April lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam pro bono, Edric Loo.

Sebelum itu, Edric memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara yang ringan kerana itu merupakan kesalahan pertama yang dilakukan tertuduh dan tindakan yang mengaku salah telah menjimatkan masa.

Katanya, tertuduh yang masih bujang bekerja sebagai promoter dengan pendapatan RM1,500 sebulan tidak mempunyai tangungan dan dia telah insaf dengan perbuatan yang telah dilakukannya.

Terdahulu Mohd Nordin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kepada tertuduh memandangkan perbuatannya menyimbah air kepada mangsa adalah satu perbuatan yang serius.

“Mangsa masih dirawat di hospital dengan kesan melecur di bahagian belakang badan, bahu serta leher dengan luka melecur enam peratus dan doktor perlu mencuci dan membalut luka kecederaan ini untuk mengelak jangkitan kuman.

“Saya percaya rata-rata masyarakat mengutuk perbuatan ini. Amat jelas air (panas) disiram dengan begitu tidak berperikemanusiaan kepada mangsa yang masuk ke dalam lif dengan tertuduh adalah jiran yang hanya berbeza satu tingkat dan sudah menetap di pangsapuri sama sejak 2014.

“Saya telah menyemak tiada laporan yang dibuat tertuduh cuma mungkin dia (mangsa) seorang lemah sikit belajar. Kita tidak boleh sisih dan masyarakat sepatutya membantu golongan OKU dan bukan menzaliminya seperti binatang.

“Saya tidak mengatakan ini rasisme tetapi saya ingin kita semua mengambil iktibar biarlah masyarakat kita boleh menghormati sesama kita dan boleh tinggal bersama-sama dalam komuniti apatah lagi mangsa disahkan OKU Sindrom Down,” katanya.

Nordin ketika membaca impak pernyataan saksi daripada adik perempuan mangsa A Krishna Armi berkata abangnya meraung kesakitan selepas kejadian itu selain dia kini tidak dapat bergerak bebas, mengalami gangguan tidur selain hilang selera makan.

Kejadian itu turut menyebabkan dia dan ahli keluarga perlu kerap berulang alik ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan perkara itu agak membebankan keluarganya yang bukan golongan orang senang dan dia juga tidak dapat bekerja seperti biasa menyebabkan gajinya dipotong.

Adik mangsa dalam pernyataan bertulis kepada mahkamah turut memberitahu abangnya yang dahulu mampu mengurus diri seperti mandi, makan dan berjalan kini perlu dibantu selain sering mengulangi kata-kata “apa salah saya” dan “saya buat apa” selain kecederaan dialami akan meninggalkan parut kekal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini