comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes rasuah Bung Moktar dan isteri, pengurusan kes rayuan pendakwaan hari ini

Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga tuduhan rasuah, ditetapkan bagi pengurusan kes pagi ini di Mahkamah Rayuan.

Pada September lalu, media dimaklumkan oleh peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette, bahawa pendakwaan sudah memfailkan notis rayuan pada 15 September lalu.

Mahkamah Tinggi pada 7 September lalu, melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah berkenaan.

Menurut Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, adalah sesuai dan wajar untuk melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam kes itu.

Pasangan terbabit diperintahkan Mahkamah Sesyen untuk membela diri pada 2 September tahun lalu, dan mereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu selepas membenarkan bantahan awal pendakwaan.

Bung Moktar dan Zizie Izette kemudian memfailkan rayuan pada 7 Julai lalu, di mana mereka berjaya dalam rayuan terbabit dan Mahkamah Rayuan mengembalikan permohonan semakan ke Mahkamah Tinggi supaya merit permohonan didengar.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa dengan dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi itu untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari dan jam 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar menerusi nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette pula didakwa dengan tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di tempat, tarikh dan masa yang sama.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini