comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[KEMAS KINI] Bung, Zizie dilepas, bebas daripada tuduhan rasuah RM2.8 juta

Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad  daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Keputsan dibuat Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lalu.

Azhar dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati tiada bukti yang menunjukkan dua saksi pendakwaan memberikan wang rasuah kepada  Bung Moktar  melalui isterinya, Zizie Izette.

Katanya, mahkamah membuat dapatan itu selepas pemeriksaan dan penelitian terhadap rekod prosiding.

Dua saksi pendakwaan berkenaan adalah ejen Public Mutual iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.

Sehubungan itu, Azhar berkata, ia adalah kes yang betul dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.

 “Dengan itu, keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-dua pemohon untuk membela diri (pada 2 September tahun lalu) adalah salah laksana keadilan.

 “Saya dengan ini mengguna pakai Seksyen 325 Kanun Prosedur Jenayah bagi melepas dan membebaskan kedua-dua pemohon,” katanya.

Sebaik keputusan mahkamah itu dibacakan, Bung Moktar dan Zizie Izette yang berada dalam kandang tertuduh, menangis dan berpelukan

Pada 2 September 2022, Hakim Rozina Ayob memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 65, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette, 45,  di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.
 

 

Loading...
Terkini