comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 kali diusir, PATI tidak serik.. datang kembali dan ditahan lagi

PATI yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Pontian pagi tadi.

PONTIAN: Dua kali pernah diusir kerana memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen.

Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada salah seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia, yang ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Pontian pagi tadi, atas kesalahan yang sama.

Lelaki berumur 30 tahun itu antara 318 Pati yang ditahan dalam beberapa siri serbuan oleh bahagian penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor.

Tertuduh ditahan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru, pada 5 Jun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63.

Tuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan enam kali sebatan.

Dalam pada itu, seramai seramai 318 pendatang termasuk 61 wanita dari beberapa negara berumur antara 19 hingga 53 tahun didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Ia termasuk 143 warga Myanmar, Pakistan (68), Indonesia (47), India (38), Bangladesh (14), Nepal (5) dan masing-masing dua dari Thailand dan Kemboja.

Daripada jumlah itu, 172 PATI didakwa tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen yang sah.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta enam sebatan.

Manakala 146 yang lain didakwa berada di negara ini dengan memiliki pasport yang sudah tamat tempoh.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JIM, Nur Lina Athirah Abdul Rahim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini