comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 pasangan suami isteri tidak mengaku simpan barang kemas milik Kieda Crepe

Empat tertuduh terdiri daripada dua beradik bersama suami masing-masing dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini untuk pertuduhan menyimpan harta rompak iaitu barangan kemas seberat 247.65 gram (g) milik seorang pempengaruh media sosial yang juga usahawan makanan Kieda Crepe, dua bulan lalu.-Foto: NSTP

BUTTERWORTH: Dua beradik bersama suami masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan harta rompak iaitu barangan kemas seberat 247.65 gram (g) milik seorang pempengaruh media sosial yang juga usahawan makanan Kieda Crepe, dua bulan lalu.

Tertuduh, Nurul Hidayah Mahat, 24, dan adiknya, Endang Nur Nabila Suriana, 22, bersama suami mereka Muhammad Ezwan Syafiq Joha, 27, dan Muhammad Affizan Abdullah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan curang telah menyimpan harta iaitu seutas gelang tangan, seutas rantai leher gantung love, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher yang keseluruhannya seberat 247.65g kepunyaan Siti Nur khalida Yusra Mohd Jais melalui hasil rompakan berkumpulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Aman Kepala Batas dalam daerah Seberang Perai Utara pada jam 9 malam, 25 April lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM18,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan.

Antaranya adalah melapor diri di balai polis berhampiran kediaman mereka pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan, menyerahkan pasport m kepada mahkamah dan dilarang mendekati mangsa serta saksi sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 19 Julai depan untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini