comscore
Tumpuan :
Mahkamah

24 jam ditahan, datuk dan nenek Zayn Rayyan dilepaskan dengan jaminan polis

Oleh: Nurul Amalina Zainudin & Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Datuk dan nenek kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dilepaskan dengan jaminan polis, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan pembebasan pasangan itu.

Pasangan suami isteri itu dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 2.34 petang tadi.

Menurut peguam pasangan itu, Fahmi Abdul Moin, bagaimanapun pasangan itu perlu melapor diri di IPD Petaling Jaya, setiap bulan.

“Saya pasti mereka akan patuh dengan arahan itu dan akan sentiasa memberi kerjasama erat dalam mencari siapa pembunuh Zayn Rayyan,” katanya ketika ditemui media di luar IPD.

Sementara itu, datuk kepada Zayn Rayyan memaklumkan berhasrat mendapatkan rehat secukupnya sebaik pulang ke rumah.

“Saya nak berterima kasih kepada pihak PDRM, memang profesional, saya pun tak cukup tidur dari semalam lagi, pakai pun baju yang sama, jadi saya nak balik berehat nak tengok anak menantu di rumah,” katanya.

Semalam, pasangan suami isteri itu ditahan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Selangor sekitar jam 2.30 petang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan penahanan mereka bagi membantu siasatan pembunuhan Zayn Rayyan.

Loading...
Terkini