comscore
Tumpuan :
Mahkamah

3 termasuk sepasang suami isteri didakwa sokongan, miliki bahan pengganas IS

 

3 termasuk sepasang suami isteri didakwa sokongan, miliki bahan pengganas IS

JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan berasingan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) bulan lalu.

Tertuduh Muhammad Feesol Haron, 35 dan isteri Suhaini Sarwan, 46 serta Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Muhammad Feesol dan Suhaini didakwa memiliki bahan-bahan berkaitan IS dan perbuatan pengganas di dalam telefon bimbit mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kempas, di sini kira-kira jam 1.10 petang dan 1.15 petang 30 Mei lalu.

Manakala Mohd Firdaus didakwa melakukan kesalahan sama di perkarangan hadapan sebuah kilang di Jalan Perniagaan Setia 6, Taman Perniagaan Setia di sini kira-kira jam 6.15 petang 30 Mei lalu.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.

Suhaini turut berhadapan dua lagi pertuduhan memberi sokongan kepada IS menggunakan dua akaun media sosial Facebook atas nama Suhaini Sarwan dan Enma Kenma.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8, Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Kuala Lumpur kira-kira 5.50 petang 27 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Mahkamah menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazzi Ahmad Salim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, ketibaan ketiga-tiga tertuduh di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada jam 8.30 pagi dikawal ketat lebih 30 anggota polis bersenjata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini