comscore
Tumpuan :
Mahkamah

4 lelaki Pakistan direman kerana merusuh, pukul pemandu Proton Saga

Foto: NSTP

TELUK INTAN: Empat lelaki warga Pakistan direman selama empat hari sehingga Isnin ini kerana merusuh dan memukul pemandu Proton Saga yang menyebabkan kematian tiga rakan senegara mereka.

Perkara itu diputuskan Majistret T Ashvinii di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Suspek berusia 24 hingga 49 tahun dan bekerja sebagai buruh sawit ditahan jam 4.20 petang semalam selepas pemandu Proton Saga terbabit membuat laporan polis menyatakan dia cedera di kepala akibat dipukul.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, dilaporkan berkata mereka ditahan selepas polis mengenal pasti suspek menerusi video tular di laman sosial membabitkan pemandu kereta dan empat lelaki berkenaan.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian memukul pemandu itu berlaku sebaik sahaja selepas nahas jam 8.10 pagi itu.

Pemandu berusia 36 tahun yang didapati positif ganja membuat laporan polis berhubung insiden dia dipukul kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Ahmad Adnan berkata, tiada kecederaan serius dialami pemandu kereta berkenaan melainkan luka di bahagian kepala.

Kelmarin, tiga lelaki warga Pakistan maut, manakala tiga lagi parah selepas dirempuh kereta dipandu suspek ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat Batu 12 Changkat Jong, Proton Saga dipandu suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan terbabas dan merempuh enam warga Pakistan yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.

Tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Zahir Nur Muhammad, 31; Shayan Mumtazali, 22 dan Adil Noorullah, 33.

Tiga lagi individu yang cedera ialah Kamran Muhammad Wali, 26; Yasen Afzalsha, 19 dan Salem Said Rasol, 23.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini