comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Suspek langgar mati 3 warga Pakistan mahu solat raya, dituduh di mahkamah esok

TELUK INTAN: Lelaki yang didapati positif ganja semasa melanggar mati tiga lelaki warga Pakistan, pagi semalam, akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun yang sedang direman selama empat hari sehingga Ahad ini turut disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kertas siasatan bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan sudah dilengkapkan dan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok.

“Manakala, kertas siasatan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian akan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan tiga lelaki warga Pakistan maut, manakala tiga lagi parah dirempuh kereta ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Kejadian berlaku di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat Batu 12 Changkat Jong, di sini, apabila sebuah Proton Saga dipandu lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai makan terbabas dan terlanggar enam warga Pakistan yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.

Identiti tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Zahir Nur Muhammad, 31; Shayan Mumtazali, 22 dan Adil Noorullah, 33.

Tiga lagi individu cedera ialah Kamran Muhammad Wali, 26; Yasen Afzalsha, 19 dan Salem Said Rasol, 23.

Sementara itu, rakan sekerja kepada Zahir, Hazrat Ali Hamdullah, 35, berkata, Allahyarham yang mempunyai seorang isteri dan tiga anak sudah dua tahun tidak pulang ke kampung halaman di Mardan, Pakistan.

“Kami berjalan kaki ke Masjid Jamek Kampung Ayer Hitam, bagaimanapun secara tiba-tiba kami dilanggar kereta dari arah belakang. Zahir, Shayan dan Adil terpelanting sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah kongsi mereka di Batu 12, Changkat Jong, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 55 saat di laman Facebook memaparkan sebuah Proton Saga berwarna putih melanggar enam pejalan kaki sehingga sebahagian mereka terpelanting ke dalam parit dan jalan raya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini