comscore
Tumpuan :
Mahkamah

7 remaja ahli kongsi gelap didakwa pukul, paksa 3 remaja sertai pertubuhan haram

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Tujuh remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun yang juga ahli kumpulan sebuah kongsi gelap berdepan sembilan pertuduhan di Mahkamah Majistret Juvana kerana mencederakan tiga remaja yang enggan memasuki kongsi gelap berkenaan, dua minggu lalu.

Mereka didakwa mencederakan tiga remaja yang sama dengan memukul mereka, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketujuh-ketujuh remaja itu juga didakwa menggunakan kekerasan dengan mencabul kehormatan tiga mangsa yang sama, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mereka turut didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas remaja berkenaan menggunakan senjata iaitu batang PVC yang boleh menyebabkan kematian, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tujuh remaja berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di belakang gelanggang futsal Taman Keindahan, Skudai, kira-kira 7 malam, 15 Jun lalu.

Kesalahan berkenaan boleh menyebabkan mereka dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau menjalani perintah masyarakat atau membayar denda atau bon berkelakuan baik dengan syarat dikenakan mahkamah atau dilepaskan dengan amaran.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Musa dan peguam yang sama mewakili kesemua ketujuh-tujuh remaja berkenaan.

Majistret memerintah setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 seorang, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain dihalang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen ditetapkan pada 29 Julai depan.

Sementara itu, seorang lelaki yang juga ahli kumpulan kongsi gelap sama, dijatuhi hukuman denda RM4,200 atau penjara setahun, kerana mencederakan tiga remaja tersebut.

Majistret Hidayatul Syuhada Samsudin memerintahkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Lim Jian Yau, 20, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan.
Jian Yau dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul tiga remaja berbeza dengan menggunakan tangan dan kakinya.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak belakang taman permainan Taman Mutiara Rini, Skudai, kira-kira 8 malam, pada 15 Jun lalu.

Perbuatan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret memerintahkan tertuduh didenda RM1,400 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar denda, dia akan dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin manakala tertuduh diwakili, Jason Tan Ka Yan dan Mohamed Imran Mohamed Sam.

Mengikut fakta kes, tiga mangsa berusia 15 tahun itu berada di sebuah pusat belah-belah di Skudai sebelum didatangi 10 remaja yang mengepung serta memaksa mereka menyertai sebuah kumpulan kongsi gelap.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa enggan menyertai kumpulan kongsi gelap itu sebelum dipaksa menaiki sebuah kereta dan dipukul serta dicederakan menggunakan kekerasan jenayah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini