comscore
Tumpuan :
Mahkamah

9 termasuk 5 bekas pelajar diperintah bayar ganti rugi lebih RM600,000 kepada mangsa buli

Foto hiasan


PUTRAJAYA : Mahkamah Persekutuan mengarahkan sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah sains di Terengganu membayar ganti rugi RM616,634.20  kepada mangsa buli lapan tahun lalu yang mengalami cacat pendengaran kekal.

Keputusan dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Hakim sebulat suara memutuskan sembilan pihak berkenaan bertanggungjawab dan cuai ke atas mangsa selaku plaintif yang kini berusia 22 tahun.

Sembilan pihak terbabit ialah lima bekas pelajar Tingkatan Lima selaku defendan pertama hingga kelima yang kini berumur 25 tahun, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sulaiman Ngarif (keenam), bekas pengetua, Meriam Jusoh (ketujuh), Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (kelapan) dan kerajaan (kesembilan).

Kejadian pukul, buli dan serangan itu berlaku di bilik asrama ketua pengawas Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Terengganu pada 26 April 2015 dan ketika itu plaintif berusia 14 tahun.

Mahkamah memutuskan keputusan itu menerusi aplikasi Zoom, semalam dan mendapati Ketua Pengarah KPM dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius (liabiliti ganti rugi) akibat kecuaian warden, PKHEM dan pengetua.

Susulan itu, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 2019 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Mei 2021.

Mangsa ketika kejadian adalah pelajar Tingkatan Dua sekolah berkenaan memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu melalui bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah terhadap sembilan defendan itu menerusi Peguamcara Tetuan WA Wan Adnan & Associates.

Berdasarkan tuntutan itu, mangsa mendakwa dipukul, dibuli dan diserang lima pelajar senior sehingga mengakibatkan gegendang telinga kanannya pecah serta mengalami kecacatan kekal dan hilang pendengaran.

Plaintif juga mengalami trauma teruk dan tekanan perasaan sehingga memaksanya menjalani rawatan psikiatri.

Malah, plaintif yang juga pelajar pintar dan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013  terpaksa bertukar ke sekolah lain pada Julai 2015. 

Pada 29 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mendapati, semua defendan bertanggungjawab atas kecederaan itu dan membenarkan semua tuntutan ganti rugi termasuk ganti rugi am kecederaan, khas dan teladan.
 
Bagaimanapun, pada 20 Mei 2021, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan keseluruhan keputusan terbabit dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima defendan itu telah memukul, membuli dan menyerangnya.

Semua hakim Mahkamah Rayuan itu juga mendapati defendan keenam dan ketujuh termasuk warden dan pengetua tidak cuai dalam menjalankan tugas mereka.

Susulan itu, defendan kelapan dan kesembilan tidak dipertanggungjawabkan atas tuntutan plaintif.

Sementara itu, peguam plaintif, Wan Azliana Wan Adnan yang juga Ketua Gerakan Anti Buli berkata, kes itu adalah satu kemenangan buat semua mangsa kejadian buli di seluruh negara.

“Saya berharap keputusan kes ini dapat dijadikan pengajaran dan bertindak sebagai ‘deterrent’ bagi kes buli yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loading...
Terkini