comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Aib, cederakan teman wanita, pekerja zoo didenda RM3,000

Pekerja zoo didenda RM3,000 selepas mengaku mengaib dan cederakan teman wanita.- Foto: NSTP

MELAKA: Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mengaibkan teman wanita dengan menggelarnya sebagai pelacur serta mencederakan mangsa pada 1 Syawal lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Nur Fitri Lot, 29, atas dua pertuduhan, menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Dalam penghakimannya itu, Nabilah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat hendak mengaibkan kehormatan terhadap seorang wanita berusia 36 tahun dengan cara memarahi dengan menggunakan kata-kata kesat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan AP 7, Taman Alai Perdana, dekat sini, pada 10 April lalu, kira-kira jam 6 petang.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Nur Fitri didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera kepada mangsa sama pada tarikh, masa dan di tempat sama iaitu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira pertuduhan dan fakta kes.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda rendah dan tidak dipenjarakan kerana mahu menjaga anak dan keluarga serta mahu bekerja semula.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini