comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Amang seksual budak 11 tahun: Pekerja kontrak mengaku tidak bersalah 

Nalenthiran dibawa ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan yatim piatu berusia 11 tahun. – FOTO: NSTP

TELUK INTAN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan yatim piatu, dua minggu lalu.

Tertuduh, VK Nalenthiran, 34, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, bapa anak satu itu didakwa melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah rumah di Batu 3½, di sini, pada 11.30 pagi, 10 Mac lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Rishan Kumar, manakala tertuduh diwakili peguam S Kumaresen.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak boleh mendekati mangsa.

Mahkamah juga menetapkan 25 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, tertuduh yang ke rumah mangsa atas urusan kerja dengan bapa saudaranya, didakwa menghampiri mangsa yang sedang membasuh baju di belakang rumah.

Dia kemudian dikatakan menutup mulut mangsa dan menariknya ke dalam tandas sebelum melakukan perbuatan terkutuk.

Mangsa berjaya melepaskan diri selepas pergelutan dan mengalami luka di tangan.

Dia memberitahu ibu saudaranya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada 10 Mac lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini