comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jurulatih Muay Thai mengaku salah 4 pertuduhan amang seksual fizikal ke atas remaja

Zemi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. – Foto: NSTP

MELAKA: Seorang jurulatih Muay Thai mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja kononnya bagi mengubati sihir.

Tertuduh, Zemi Rahim, 50, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan 2 bulan di kawasan semak di Jalan Taman Malim Jaya serta perindustrian berdekatan sebuah pasar raya di Cheng masing-masing pada awal, pertengahan dan akhir September serta 9 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan prosiding fakta dan hukuman ke 3 November depan selepas dimohon Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim, bagi menyediakan fakta kes.

Pendakwaan juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Loading...
Terkini