comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Amelia Henderson akan fail rayuan, A Aida bersyukur

 

Amelia ketika hadir di Mahkamah Sesyen Sivil di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar kes saman pelanggaran kontrak perjanjian antaranya dengan A Aida Production Sdn Bhd, pagi tadi. – FOTO: NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Pelakon Amelia Henderson, 27, akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap keputusan kes saman perlanggaran kontrak perjanjian selepas kemenangan berpihak kepada penerbit Datuk A Aida, 53.

“Saya tidak boleh hendak cakap banyak memandangkan saya akan buat rayuan. Saya rasa kes ini masih berterusan dan kita akan nantikan.

Peguam mewakili Amelia, Wan Nurliyana Abdul Rahman berkata, beliau bersama anak guamnya akan memfailkan rayuan berkenaan secepat mungkin.

Terdahulu, Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson diperintahkan Mahkamah Sesyen Sivil membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi diasaskan A Aida iaitu A Aida Production Sdn Bhd.

Amelia akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap keputusan kes saman perlanggaran kontrak perjanjian selepas kemenangan berpihak kepada Aida. FOTO: NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

“Saya hormati keputusan mahkamah hari ini. Sejujurnya, saya masuk mahkamah hari ini tanpa sebarang harapan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, hari ini.

“Kami sedang tunggu penghakiman dahulu pihak plaintif (A Aida) terlebih dahulu. Rayuan tidak bersifat kita boleh terus tangguh (bayaran), jadi kami perlu failkan permohonan lain,” katanya.

Jumlah bayaran yang perlu dilunaskan Amelia termasuk bayaran pendahuluan yang diterima sebelum penggambaran, ganti rugi am fitnah serta ganti rugi kos penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali sebanyak RM101,325.

Sementara itu, Penerbit Datuk A Aida, mengalirkan air mata selepas keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Sivil.

Aida menitiskan air mata selepas Mahkamah Sesyen Sivil mengarahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 selepas didapati melanggar kontrak perjanjian syarikat penerbitan diasaskannya, A Aida Production Sdn Bhd. – FOTO: NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang bersyukur dengan keputusan itu, malah yakin kes berkenaan berpihak kepadanya.

“Alhamdulillah, sempena bulan mulia Ramadan ini, Allah mempermudahkan dan memakbulkan doa supaya keputusan memihak kepada saya.

“Sebenarnya, dari awal lagi, saya sudah yakin boleh menang kes ini kerana ia berkait perlanggaran kontrak.

“Saya harap ini memberi pengajaran kepada artis lain terutama pelapis baharu dalam industri seni,” katanya ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, hari ini.

Loading...
Terkini