comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes MB Kedah dipindah ke Mahkamah Tinggi, tarikh bicara baharu akan diberi kemudian

Foto fail NSTP

SELAYANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengosongkan tarikh perbicaraan membabitkan dua tuduhan menghasut dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang sepatutnya bermula minggu depan.

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malek Ayob memaklumkan kepada mahkamah, bahawa permohonan Muhammad Sanusi pada 11 Januari lalu untuk menggantung prosiding perbicaraan itu kini bersifat akademik.

Jelas Abdul Malek, ini kerana Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Aslam Zainuddin semalam sudah membenarkan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneris itu untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu turut disahkan peguam bela, Mohd Tajuddin Abd Razak yang memohon supaya tarikh berkenaan dilapangkan dan memaklumkan, kedua-dua pihak sedang menunggu tarikh pengurusan kes baharu daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin kemudian memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

“Susulan itu, tiada keputusan akan diberikan bagi permohonan ini (menggantung prosiding), maka tarikh perbicaraan pada bulan Februari dan Mac, dilapangkan,” katanya.

Pada prosiding hari ini juga, kehadiran Muhammad Sanusi dikecualikan oleh mahkamah.

Pada 11 Januari lalu, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dihadapinya ke Mahkamah Tinggi dan menggantung perbicaraan yang dijadualkan 5 Februari ini di Mahkamah Sesyen.

Permohonan terbabit dibantah pendakwaan yang dinamakan selaku responden, dengan mendakwa Muhammad Sanusi sengaja melengah-lengahkan prosiding kes.

Pada 18 Julai tahun lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun sama.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini