comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Anggota polis didakwa lakukan amang seksual, rogol remaja baru kenal 2 hari

Foto: NSTP

 

MUAR: Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta merogol seorang remaja perempuan bawah umur yang baru dikenali, dalam kereta dan hotel di Batu Pahat pada awal bulan ini.

Tertuduh, Konstabel Muhammad Faizal Norlizan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang masih bujang didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun, di sebuah hotel di Batu Pahat antara jam 4 hingga 5 petang 4 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut 376 (1) Kanun Keseksaan dengan penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Parit Sulong, Batu Pahat, antara jam 3 hingga 4 petang hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama dengan penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Ardelliza Izmaryanti Shafie.

Pihak pendakwaan kemudian memohon supaya tertuduh tidak diberikan ikat jamin kerana pertuduhan terhadapnya membabitkan kesalahan serius.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah menetapkan dua syarat, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh didakwa mengenali mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan dua hari kemudian membawa remaja itu ke sebuah hotel lalu melakukan perbuatan berkenaan.

Susulan itu, mangsa membuat laporan berhubung kejadian terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari sama sebelum tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini