comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bantahan awal Najib ditolak, Hakim Abu Bakar dinamakan secara sah – Mahkamah

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, dinamakan secara sah oleh Ketua Hakim Negara dalam komposisi panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan semakan oleh Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, menolak bantahan awal Najib yang diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, supaya Abu Bakar menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

Abdul Rahman dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak diyakinkan dengan hujahan Muhammad Shafee bahawa Abu Bakar harus menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

“Pada pandangan kami, undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara diberi kuasa budi bicara untuk menamakan Hakim Mahkamah Rayuan untuk bersidang sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan bagi kepentingan keadilan mengikut Peruntukan 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Atas alasan sama, kami menolak hujahan bahawa Abu Bakar tidak sepatutnya terbabit dalam pendengaran permohonan ini. Sehubungan itu, kami menolak bantahan awal pemohon,” katanya.

Beliau kemudian memerintahkan Muhammad Shafee memulakan hujahan permohonan semakan. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini