comscore
Tumpuan :
Nasional

Dr Mahathir mungkin tidak sertai RCI Batu Puteh

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Peguam kepada Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan menasihatkan bekas Perdana Menteri itu supaya tidak menyertai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata cadangan itu akan dibuat sekiranya RCI masih diterajui oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

Menurut Muhammad Rafique, ini kerana Tun Md Raus mempunyai konflik kepentingan dalam kes berkenaan.

“Sesuatu RCI itu sewajarnya dilihat bersih dan tidak memihak agar orang awam tidak akan mempersoalkan kewibawaan dapatan RCI terbabit.”

“Namun, pelantikan Tun Md Raus sebagai pengerusi RCI Batu Puteh ini telah mewujudkan satu bahaya bias yang sebenar yang akan mencemarkan keseluruhan prosiding RCI terbabit serta akan menjejaskan kewibawaan dapatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Muhammad Rafique, umum mengetahui bahawa RCI Batu Puteh adalah berkenaan keputusan Kerajaan Persekutuan pada 31 Jun 2018 untuk menarik balik dua permohonan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 dan Dr Mahathir adalah Perdana Menteri pada masa keputusan terbabit dibuat.

Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

“Pelantikan Tun Md Raus sebagai Pengerusi RCI Batu Puteh berkenaan jelas bertentangan dengan prinsip keadilan asasi memandangkan Tun Md Raus adalah pihak yang amat berkepentingan.”

“Pada 2017, Dr Mahathir telah memfailkan satu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keabsahan pelantikan Tun Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan kerana Md Raus Sharif telah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan (rujuk Tun Dr Mahathir bin Mohamad v Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak & Ors [2018] 8 MLJ 297).”

“Pada 15 Mei 2018, Tun Md Raus telah bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatakan hasratnya meletak jawatan Ketua Hakim Negara.”

“Tun Md Raus Sharif kemudiannya mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2018 yang mana diperkenankan oleh YDPA pada 11 Jun 2018,” katanya.

Katanya, oleh sebab-sebab sedemikian dan atas nama keadilan bagi Dr Mahathir, pihaknya memohon agar kerajaan menggantikan Pengerusi RCI dengan seorang yang tidak berkonflik kepentingan, atau dalam maksud mencari kebenaran adalah wajar Tun Md Raus menarik diri daripada posisi terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini