comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa anak dua didenda RM3,500, tunjuk punggung kepada pekerja farmasi

Foto hiasan

KANGAR: Padah menunjukkan punggung kepada pekerja sebuah farmasi, bapa kepada dua anak didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret, Ana Rozana Mohd Nor, memutuskan hukuman selepas lelaki berusia 34 tahun itu yang juga bekerja sebagai kerani bank menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

“Mahkamah dalam memberi pertimbangan kepada kepentingan awam menjatuhkan hukuman denda memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius. Hukuman sebagai pengajaran bukan saja kepada tertuduh, malah kepada bakal pesalah lain.

“Mahkamah berhasrat memberi isyarat kepada tertuduh dan bakal pesalah lain supaya menghindari perbuatan mengganggu kesantunan perempuan kerana setiap daripada mereka ada harga diri tinggi dan maruah yang perlu dipelihara.

“Mahkamah juga mempertimbangkan bahawa tertuduh tiada rekod lampau dan bertanggungjawab atas kesalahannya, dengan membuat pengakuan salah di peringkat awal serta seharusnya diberikan ‘diskaun’ atas pengakuan salah,” katanya dalam alasan penghakiman bertarikh semalam, yang dimuat naik menerusi sistem pengurusan e-kehakiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh datang ke farmasi untuk bertanyakan mengenai ubat bisul sebelum terus menunjukkan punggung pada mangsa berusia 30 tahun di sebuah farmasi dekat Padang Besar, Perlis, jam 11.50 pagi pada 9 Mei 2023.

Pendakwaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Ana Rozana meneliti latar belakang tertuduh termasuk adalah penanggung utama keluarga, ketika mengenakan hukuman berkenaan.

“Isteri tertuduh seorang suri rumah yang sedang sarat hamil dan anak masih bersekolah, selain menanggung ibu yang sudah tua dan bergantung hidup kepadanya.

“Tertuduh ada kehidupan stabil dan masa depan yang cerah. Jika hukuman pemenjaraan dikenakan, ia semestinya akan menjejaskan masa depan tertuduh.

“Mahkamah juga berpendapat keluarga tertuduh tidak seharusnya diheret bersama untuk menanggung penderitaan jika mahkamah menjatuhkan hukuman berat,” katanya.

Loading...
Terkini