comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas CEO dan anak lelaki didakwa kemuka dokumen palsu jualan jongkong emas

Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Bapa dan anak lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu di sini hari ini,
atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan penjualan jongkong emas di Bukit Mantri, Tawau antara 2019 hingga Mac tahun ini.

Datuk Lo Fui Ming, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wullersdorf Resources Sdn Bhd dan anaknya, Lo Teck Yong, yang juga bekas pengarah syarikat sama didakwa menyebabkan kerugian lebih RM1.3 juta kepada kerajaan negeri Sabah.

Kedua-duanya membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Fui Ming, 67, berdepan 24 pertuduhan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan, manakala Teck Yong, 42, juga berdepan jumlah pertuduhan yang sama, masing-masing mengikut Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Semua pertuduhan itu adalah berkaitan kesalahan menipu Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri dengan tidak mengisytiharkan hasil penjualan kuantiti jongkong emas yang sebenar dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada jabatan berkenaan.

Jason kemudian menetapkan wang jaminan masing-masing RM100,000 kepada kedua-dua tertuduh dengan RM50,000 sebagai deposit dan seorang penjamin, manakala pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, syarikat yang dikendalikan oleh kedua-dua tertuduh sebelum ini menjalankan perniagaan perlombongan mineral emas di Bukit Mantri, Tawau.

Berdasarkan syarat perjanjian pajakan tanah dan perlombongan mineral dengan JTU, syarikat berkenaan disyaratkan untuk membayar royalti sebanyak lima peratus daripada hasil penjualan emas yang dilombong di lokasi terbabit kepada JTU.

Dalam tempoh 2019 hingga 2023, kedua-dua tertuduh dikatakan menjual sebanyak 26 jongkong emas secara haram kepada syarikat pembeli dengan tidak mengisytiharkannya dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada JTU bagi pengiraan bayaran royalti sebanyak lima peratus.

Penipuan yang dilakukan kedua-dua tertuduh didakwa mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan Negeri Sabah dari segi penerimaan bayaran royalti sebanyak lima peratus yang dianggarkan berjumlah RM1.3 Juta.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan.

Loading...
Terkini