comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas pemandu lori kelar bapa sampai mati dipenjara 35 tahun, terlepas hukuman gantung

Foto hiasan

PUTRAJAYA : Seorang bekas pemandu lori yang mengelar bapanya sehingga mati enam tahun lalu, terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan menggantikannya dengan hukuman 35 tahun penjara.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Selepas mengambil kira hujahan dikemukakan pihak peguam dan pendakwaan, rayuan perayu terhadap sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ditolak dan mahkamah ketepikan hukuman (mati) itu digantikan dengan hukuman penjara 35 tahun, selain mengambil kira fakta perayu menjaga bapanya yang baharu keluar dari hospital dan tiada motif pembunuhan.

“Hukuman itu diperintahkan bermula dari tarikh perayu ditangkap,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy.

Mohamad Nazri yang juga mualaf ditangkap pada 4 Julai 2017.

Terdahulu, Vazeer Alam ketika membacakan keputusan itu berkata, hakim bicara (Hakim Mahkamah Tinggi) terkhilaf dengan menerima pengakuan yang dibuat  perayu kepada isterinya dan keterangan itu bercanggah dengan Seksyen 122 Akta Keterangan 1950.

“Bagaimanapun sekiranya keterangan ini dikecualikan, mahkamah mendapati terdapat bukti yang mencukupi untuk membuktikan pertuduhan terhadap perayu berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan tiada sebab untuk mahkamah ini mengganggu dapatan Hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz dan peguam Ahmad Ishrakh Saad mewakili perayu.

Pada 15 Disember 2021, lelaki itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban kerana menyebabkan kematian bapanya, S Valaytham, 76, di sebuah rumah di Felda Lui Timur, Bahau, Negeri Sembilan pada 2 Julai 2017, antara jam 10.30 malam hingga 11.20 malam.

Media melaporkan, mayat Valaytham yang juga peneroka tanah rancangan ditemui anggota polis peronda yang ke rumah mangsa selepas menerima maklumat jiran mengenai pergaduhan.

Kejadian berlaku apabila tertuduh yang juga anak ketiga daripada enam beradik meminta wang daripada bapanya, namun tidak diendahkan menyebabkan dia bertindak sedemikian.

Loading...
Terkini