comscore
Tumpuan :
Mahkamah

14 ahli Geng Upik mengaku tidak bersalah

Trak polis membawa individu didakwa ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, Kota Kinabalu, hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Semua 14 individu termasuk seorang bergelar Datuk yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ke atas mereka ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Setiap tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Kes mereka dipindahkan dari Mahkamah Sesyen, petang tadi untuk prosiding pertuduhan terhadap setiap tertuduh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ismail Brahim.

Mahkamah kemudian menetapkan lima hari untuk sebutan semula bagi serahan dokumen, masing-masing pada 27 Mac ini, diikuti 2 April, 4 April, 8 April dan 17 April depan.

Bagi sebutan semula pada 27 Mac ini, empat tertuduh akan dipanggil untuk prosiding di Mahkamah Tinggi 1 Kota Kinabalu, iaitu Datuk Maslan Sani, 41; Fazrul Bahar, 32; Norsyafilah Pawawoi, 28 dan Rahman Bujirin, 44.

Pada 2 April depan, dua tertuduh, iaitu Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Mohd Fikrie Asme, 28, dipanggil untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi 5, diikuti dua lagi tertuduh pada 4 April depan iaitu Nelson Yen Yee Chung, 46 dan Alkan Abraham, 35 di Mahkamah Tinggi 4.

Baki empat lagi tertuduh akan dipanggil untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi 2 pada 8 April depan iaitu Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Mahathir Jibarail, 49; Zulkahar Dusing, 29 dan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45.

Seterusnya, dua tertuduh iaitu Mohd Fauzie Rablin, 33, dan Mazlan Mahmud, 41, dipanggil untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi 3, pada 17 April depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nur Ainaa Ridzwan, Lina Hanini Ismail dan Siti Hajah Mat Radzi, manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing kecuali Zulkahar, Mohd Fikrie dan Rahman, tidak diwakili peguam.

Hakim turut membenarkan permohonan DPP untuk semua tertuduh dilanjutkan tahanan reman.

Pagi tadi, pihak DPP memohon kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim.

Ketika prosiding di Mahkamah Sesyen pagi tadi juga, seorang tertuduh baharu dihadapkan ke mahkamah iaitu Mohd Fikrie, menjadikannya tertuduh ke-14 dalam kes berkenaan.

Tertuduh terbabit sedang menjalani tahanan berkaitan dadah di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor, selama tiga tahun sejak 9 Disember 2023.

Seramai 11 tertuduh terdahulu termasuk Maslan didakwa di Mahkamah Sesyen pada 22 Januari lalu, manakala dua tertuduh iaitu Norsyafilah dan Zulkahar didakwa pada 1 Mac lalu.

Norsyafilah adalah satu-satunya tertuduh wanita dalam kes itu yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak 2018 atas kesalahan mengedar dadah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini