comscore
Tumpuan :
Artikel

Bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Dituduh Terima Rasuah RM10,000

FOTO: BH

KOTA BHARU: Bekas pengurus besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 pada Januari 2015.

Wan Mohd Zamri Wan Ismail, 61, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Dia didakwa menerima suapan wang RM10,000 daripada Ng Tze Wei, 44, melalui cek bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh di Maybank Jalan Mahmood di sini, pada 22 Januari 2015.

Suapan itu sebagai dorongan membantu syarikat Zog Technology Sdn Bhd dilantik sebagai sub kontraktor untuk menjalankan kerja mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji lari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal serta elektrikal untuk skim bekalan air Merbau Chinding Fasa II, Machang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Terdahulu, Mariah memohon tertuduh dikenakan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada pihak mahkamah.

Bagaimanapun, Ahmad Adha Amir memohon jaminan minimum dikenakan memandangkan anak guamnya mengalami masalah kesihatan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport serta melapor diri ke pejabat SPRM setiap 1 haribulan.

Mahkamah menetapkan 28 September sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini