comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas Penolong Jurulatih Didakwa Amang Seksual Atlet

Mat Salleh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap atlet Sukan Malaysia (Sukma), empat tahun lalu. (Foto: NSTP)

KUALA TERENGGANU: Bekas penolong jurulatih boling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap atlet Sukan Malaysia (SUKMA), empat tahun lalu.

Tertuduh, Mat Salleh Jalani, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berumur 14 tahun satu bulan di dalam bilik di sebuah rumah di Marang pada Mac 2018.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain, tidak boleh mengganggu saksi dan mangsa sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzat Norizam. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini