comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Berbogel di surau, dua rakan dihukum penjara

BATU PAHAT: Dua rakan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan berbogel di surau plaza tol dekat Yong Peng, di sini Rabu lalu.

Lok Kah Hui, 25, dan Yap Win Yin, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca bersama dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Berdasarkan pertuduhan, Lok yang juga penjaga kebun durian dan Yap, pekerja kedai makanan haiwan didakwa berbogel di surau lelaki, dekat Plaza Tol Yong Peng pada jam 8.15 pagi, 8 November lalu.

Susulan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama, penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Foto: NSTP

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip.

Terdahulu pihak pendakwaan dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kesalahan serius dilakukan kedua-dua tertuduh.

“Walaupun, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dan menjimatkan kos mahkamah, ia tidak bermakna pengakuan itu secara automatik boleh meringankan hukuman terhadap mereka.

“Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam atas perbuatan dilakukan tertuduh iaitu kelucahan melampau dan hukuman perlu dilakukan sebagai pengajaran kepada individu lain,” katanya.

Selepas mengambil kira pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Lok manakala, Yap, lima bulan.

Mahkamah juga memutuskan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap 8 November lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini