comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bunuh anak kekasih, hukuman mati Noraizuwan diganti penjara 35 tahun, 12 sebatan 

KUALA LUMPUR: Panel tiga hakim menggantikan hukuman mati terhadap seorang lelaki selepas Mahkamah Rayuan menggantikan dengan penjara selama 35 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh anak kekasihnya yang berusia enam tahun pada tahun 2018.

Keputusan sebulat suara dibuat panel dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Azmi berkata, tiada kekhilafan mengenai sabitan kesalahan terhadap tertuduh, Noraizuwan Hamali oleh Mahkamah Tinggi Kangar sebelum ini.

Katanya, tiada merit dalam rayuan dibuat dan sabitan terhadap lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah selamat untuk dikekalkan.

“Justeru, kami (panel hakim) sebulat suara menolak rayuan perayu (Noraizuwan ) terhadap sabitan.

Mengenai hukuman, kuat kuasa Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Act 846) pada 4 Julai 2023 boleh mempertimbangkan faktor mitigasi dan pemberat.

“Ia bagi melaksanakan kuasa budi bicara untuk menentukan hukuman bersesuaian kesalahan dilakukan sama ada menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

“Setelah diperhalusi, kami sebulat suara mendapati mitigasi diketengahkan tidak menjustikasikan hukuman mati. Sehubungan itu, rayuan perayu terhadap hukuman dibenarkan.

“Hukuman gantung sampai mati dijatuhkan Mahkamah Tinggi diketepikan dan digantikan hukuman pemenjaraan selama 35 tahun dari tarikh tangkap iaitu 19 April 2018 dan 12 sebatan,” katanya melalui alasan penghakiman bertarikh semalam yang dimuat naik menerusi sistem pengurusan e-Kehakiman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan di sebuah rumah di Kampung Jejawi, Kangar pada 18 April 2018 antara jam 3.45 petang hingga keesokannya jam 12.10 tengah malam.

Azmi berkata, Noraizuwan gagal memberi penjelasan bagaimana ada kesan kecederaan yang banyak pada mangsa hingga menyebabkan kematian.

Berikutan itu, Mahkamah Rayuan menyimpulkan bahawa lelaki berkenaan adalah individu yang melakukan kesalahan itu.

“Mengenai kecederaan dialami mangsa, SP6 (saksi pendakwaan keenam, Dr Mohd Suhani Mohd Noor) mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan abdomen, organ dalaman dan pendarahan.

“Malah, SP6 mengatakan bahawa corak kecederaan boleh dikategorikan sebagai bukan bersifat kemalangan. SP6 mendapati kecederaan ke atas mangsa boleh dilakukan oleh seorang individu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini