comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bunuh pemandu e-hailing, bekas isteri dan adik tiri dituduh

Nurima (dua dari kanan) bersama Sadam (dua kiri) dibawa ke lokap Mahkamah selepas didakwa mengikut Seksyen 302 di Mahkamah Majistret di sini hari ini. – FOTO: NSTP

TAWAU: Bekas isteri kepada pemandu e-hailing yang ditemui mati dibunuh di Jalan Anjur Juara, Batu 5, Jalan Apas dua tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Nurima Juli, 35, bersama seorang lagi suspek lelaki yang juga adik tirinya, Sadam Kiram, 30, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 yang dikemukakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang pengakuan direkodkan, berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bagi mencapai niat bersama telah membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, dekat sini, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Januari 2023.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakrurrazi Ahmad Salim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Fakrurrazi memohon supaya pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan terhadap Sadam yang didengar di Mahkamah sama sebelum ini, digugurkan berikutan pertuduhan baharu terhadapnya hari ini.

Pada prosiding hari ini juga, Mohammad Fakrurrazi turut tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-kedua tertuduh dan memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.


Mahkamah kemudiannya, membenarkan pertuduhan mengikut Seksyen 201 yang dihadapi Sadam di gugurkan sebelum menetapkan tarikh 6 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh akan ditahan di

Penjara Tawau mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah memandang tiada sebarang jaminan ditawarkan ke atas mereka.

Sadam pada 24 Ogos tahun lalu dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang bukti membabitkan penemuan mayat seorang lelaki, Nurman Bakaratu, 61, pemandu e-hailing yang mati dibunuh pada 13 Januari 2023.

Dia didakwa melupuskan bukti iaitu gunting dan dompet milik Nurman dilakukan di Jambatan Sungai Kinabutan Besar, Jalan Apas, dekat sini, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada hari sama.

Tindakannya menyebabkan keterangan mengenai kesalahan dilakukan itu hilang dengan mengetahui cara sedemikian mengelak pesalah daripada hukuman undang-undang.

Sementara itu, Nurima pada 30 Januari 2023, turut pernah didakwa di Mahkamah sama, atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 sebelum dijadikan saksi pendakwaan.

Tertuduh yang juga saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan kes bunuh berprofil tinggi melibatkan pegawai kanan polis termasuk bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain bersama tujuh individu lain didakwa bersubahat dan membunuh Nurman.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan membebas dan melepaskan kesemua lapan tertuduh, selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat, untuk pihak pendakwaan tidak meneruskan pendakwaan ke atas semua tertuduh berikutan pengakuan mengejut Nurima yang mengaku membunuh Nurman yang juga bekas suaminya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini