comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Didenda RM70,000 akibat jadi doktor gigi palsu

Gombak: Seorang gadis dijatuhi hukuman denda RM70,000 di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah menjalankan kegiatan haram sebagai doktor gigi palsu di kediamannya.

Tertuduh, Teuku Nawar Najihah Teuku Alfian, 24, didapati menyediakan klinik pergigian swasta tidak berdaftar di Taman Selayang Baru, Batu Caves, Selangor.

Kesalahan itu menyebabkan dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Majlis Pergigian Malaysia (MPM) mengesahkan tertuduh bukan pengamal yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia sekaligus menyebabkan dia turut didakwa mengikut Seksyen 62 (1) Akta Pergigian 2018.

Susulan itu tertuduh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM70,000 atau 17 bulan penjara jika gagal membayar denda bagi kedua-dua pertuduhan.

Hakim Nor Rajiah Mad Zin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas gadis terbabit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini.

Bagaimanapun, tertuduh membayar semua denda dikenakan itu.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr. Faryna Md Yaakub dan dibantu Dr. Haznita Zainal Abidin.

Berdasarkan fakta kes, premis milik gadis terbabit diserbu Unit Penguatkuasaan, Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Unit Penguatkuasaan.

Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pada 14 September tahun lalu.

Serbuan dilakukan selepas KKM mendapat maklumat premis itu menawarkan khidmat klinik pergigian swasta tidak berdaftar serta dikendalikan individu tidak berkelayakan.

Ketika serbuan dilakukan tertuduh disyaki sedang menjalankan rawatan braces ke atas seorang pelanggan.

Tertuduh gagal menunjukkan dokumen yang sah bagi mengesahkan premis itu adalah klinik pergigian swasta (KPS) yang berdaftar dan bukti perakuan pendaftaran dan perakuan pengamalan tahunan semasa sebagai pengamal pergigian berdaftar.

Turut dirampas adalah bahan bukti antaranya portable whitening machine, light cure machine, peralatan pergigian dan bahan pergigian.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini