comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua mekanik curi durian didenda RM3,000

Oleh: Selwam Arjunan

BALIK PULAU: Dua mekanik mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri pelbagai jenis durian bernilai RM4,000 dari sebuah dusun di Titi Teras, di sini, Selasa lalu.

Tertuduh, Hasmuner Ismail, 40 dan Azlan Abdul Hamid, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama bagi mencuri 17 biji durian dalam dua guni milik Lee Yiew Choo, 43.

Perbuatan itu dilakukan di Lot 328 MK Titi Teras Balik Pulau pada jam 6.48 petang, 25 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, boleh dikenakan penjara dan denda atau sebatan bagi kesalahan kali kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Lushani ,manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Najihah Dzulkarnain.

Nur Najihah merayu supaya hukuman denda dikurangkan berikutan kedua-dua tertuduh masing-masing berpendapatan sebanyak RM800 dan RM1000 sebulan, selain turut menanggung ibu yang mengidap penyakit.

Majistret menetapkan denda RM1,500 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin atau penjara selama sebulan jika gagal bayar denda.

Kedua-dua tertuduh kemudiannya membayar jumlah denda yang dikenakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini