comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Duda dipenjara sebulan kerana mencuri di kedai serbaneka

FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Seorang lelaki dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri sardin, pencuci mulut dan serbuk minuman kopi, Khamis lalu.

Tertuduh, Jamaluddin Yusof, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa mencuri 10 tin sardin, empat botol pencuci mulut dan dua botol Nescafe di sebuah kedai serbaneka di Parit Raja, di sini, pada jam 1.15 tengah hari, 18 April lalu

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga pekerja kedai serbaneka terbabit menahan tertuduh sebelum menemui barangan disyaki dicuri.

Hasil soal siasat mendapati, tertuduh mengakui mengambil barangan terbabit dan laporan polis dibuat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili Kamarul Arifin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh yang juga berstatus duda memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ringan kerana perlu menanggung anak.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian dialami kedai terbabit dan juga pengajaran kepadanya.

Selepas mendengar hujahan dah rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan bermula dari tarikh ditahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini