comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Teman lelaki durjana

FAIL MAHKAMAH: Harapkan pagar, pagar makan padi. Itu yang boleh diungkapkan untuk episod kali ini.

Tiga kes yang dipaparkan, mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab si pelaku kepada kanak-kanak.

Berpunca daripada sikap panas-baran dan pengaruh bahan terlarang, si cilik yang tidak berdosa diseksa dan lebih menyedihkan, ada yang diragut nyawa.

Julai 2023 – Setapak, Kuala Lumpur:

Bayi berusia setahun, Nur Raisha Amanda menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya, hanya kerana menjadi aktif dan membuat bising seperti anak-anak kecil yang lain.

Mangsa dipukul berkali-kali di bahagian muka dan badan.

Lelaki dikenali sebagai Amir Shafiq juga didapati memukul bahagian belakang badan si mangsa dengan penyangkut baju.

Keadaan Nur Raisha Amanda setelah didera suspek berusia 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt. Ashari Abu Samah berkata, “Desakan dari maklumat-maklumat daripada jiran dan sebagainya, dan kebetulan di rumah tersebut ada juga mak saudara pada mangsa ini yang tinggal bersama dan mengesahkan bahawa anak-anak ini telah dipukul dan didera oleh teman lelaki ibu dia.”

Suspek yang berusia 31 tahun, memiliki lapan rekod kes jenayah dan lima kes dadah.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun, manakala Nur Raisha Amanda kini ditempatkan di bawah jagaan JKM.

Februari 2010 – Batang Kali, Selangor

Syafiah Humaira Sahari, 3 tahun, turut mengalami derita yang lebih kurang sama, apabila suspek yang juga kekasih kepada ibu mangsa mengaku berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Suspek, Fazli Azri Jamil yang juga seorang pemandu teksi tergamak memijak perut mangsa di padang bola sepak, hanya kerana kanak-kanak itu tidak mampu menjaga anak kandung suspek yang masih bayi.

Peguam, Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh berkata, “…adalah satu perkara yang saya tidak boleh fahami. Dia pijak anak itu dengan kasut but yang dia pakai semasa main bola…”

Siti Nurhanim meminta JKM menjaganya dan anaknya dalam laporan Buletin Utama TV3 pada 2010

Syafiah Humaira meninggal dunia akibat kecederaan dan pendarahan di otak, selain pecah di bahagian abdomen.

Laporan Buletin Utama TV3 pada 2010 menyebut, “…Nurhanim mengaku, teman lelakinya itu panas baran membuatkan ada ahli keluarganya cuba melarang hubungan mereka. Malah beberapa kesan cedera turut dikesan pada mangsa namun dirahsiakan oleh Allahyarham Syafiah.”

November 2016 – Sungai Petani, Kedah

Siapa sangka, rutin membeli ais batu setiap pagi, sebenarnya bermotif menutup jenayah keji pembunuhan anak kecil yang tidak berdosa.

Kes ini disifatkan sebagai tragedi paling menyayat hati apabila polis menemui mayat kanak-kanak dalam keadaan reput, di dalam tong ikan di Sungai Petani.

Tong ikan yang digunakan untuk menyimpan mayat Muhammad Qhairullah Abdul Hadi

Adik Muhammad Qhairullah Abdul Hadi, 2 tahun, diseksa sehingga meninggal dunia, manakala kakaknya yang berusia 4 tahun turut trauma akibat menjadi mangsa dera.

“Suspek ini memang tak suka dan juga benci kepada kedua kanak-kanak ini. Jadi suspek ini mendera mangsa dengan cara menumbuk, menyepak, dan kalau tidak silap saya menggunakan puntung rokok..” kata ACP Wan Azharuddin Wan Ismail, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah (Risikan/Operasi) Kedah.

ACP Wan Azharuddin Wan Ismail, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah (Risikan/Operasi) Kedah

Peguambela tertuduh, Kee Wei Lon pula berkata, “Budak ini juga telah ditolak, dipijak, dan tiba tiba dia seperti terkena sawan dan berhenti bernafas. Jadi bila dia berhenti bernafas, teman lelaki iaitu tertuduh di dalam kes ini menjadi panik..”

Tanpa berfikir panjang, suspek dikatakan terus membalut mangsa menggunakan selimut dan mayatnya dipercayai terus dimasukkan ke dalam tong ikan.


Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 37 daripada 5,206 kes dera dari Januari hingga Ogos 2023 melibatkan pelaku yang juga pasangan kepada ibu atau bapa mangsa.

Saksikan imbasan terperinci ‘Teman Lelaki Durjana’ menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam, Rabu ini di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.

Loading...
Terkini