comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Imran Tolot mengaku guna gelaran Datuk Sri palsu 

KOTA TINGGI: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menggunakan gelaran Datuk Sri tanpa kebenaran bagi tujuan perniagaan.

Hukuman  terhadap tertuduh Imran Tolot, 50, diputuskan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan, Imran didakwa menggunakan gelaran Datuk Sri tanpa menerima sebarang anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran dari Sultan Pahang bagi maksud perniagaan tanpa kebenaran bertulis.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Bandar Penawar, Kota Tinggi kira-kira jam 11 pagi, pada 19 April 2018.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang atau Anugerah (mencegah penggunaan tidak wajar) Pahang 2017 (Enakmen 18).

Ia memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 3(3) enakmen sama yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang maksimum RM500,000 atau  penjara maksimum   lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Muhammad Irsyad Mardi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman minimum kerana mempunyai tiga anak  masih bersekolah selain dia menghidap sakit kronik kencing manis serta urat saraf yang boleh menyebabkan lumpuh.

Dalam rayuan itu, Imran memaklumkan dirinya tidak mempunyai wang kerana tidak bekerja dan memohon mahkamah memberikan hukuman penjara minimum kepadanya.

Sementara itu, Muhammad Irsyad berkata, kesalahan dilakukan tertuduh menyalahgunakan gelaran palsu itu mencemarkan nama Institusi Kesultanan Pahang dan jika tidak dicegah kesalahan sama boleh diulang orang lain.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara dua tahun bermula tarikh ditangkap pada 4 Oktober lalu.

Terdahulu, lelaki itu ditahan selepas dipercayai menawarkan kontrak membekalkan makanan di Projek Rapid Petronas Pengerang yang tidak wujud.

Siasatan polis mendapati, suspek bergiat aktif di Johor sejak 2018 dan 2019 dengan menggunakan gelaran palsu berkenaan bagi menipu mangsa membabitkan kerugian RM100,000.

Loading...
Terkini